Dasar | Objektif | Manual Kualiti | Prosedur Kualiti Pengurusan | Prosedur Kualiti Operasi
LAPORAN AKTIVITI 2008
Nama Aktiviti: Lawatan 5S & P ke Pulau Pinang

21 Februari 2008

Pengenalan
Lawatan ini dijalankan pada 21 Februari 2007 dan ia merupakan satu projek di bawah 5S & P yang diketuai oleh Puan Nor Shahanim Mohamad Hadis dan bimbingan nasihat oleh Puan Hajah Azmi Aminuddin sebagai Ketua Unit Pengurusan Kualiti.
Lawatan ini merupakan salah satu projek untuk mencapai Tema Kualiti 2008 “Enviromental Friendly Campus” di UiTM Terengganu

Peserta
1) Puan Hajah Azmi Aminuddin – Pensyarah
2) Puan Nor Shahanim Mohamad Hadis – Pensyarah
3) Cik Yusnira Husaini – Pensyarah
4) Cik Fazlina Ahmat Ruslan – Pensyarah
5) Puan Rossidah Wan Abdul Aziz – Pensyarah
6) Encik Talib Samad Jamil – Penolong Pendaftar
7) En Hussain Amin – Juruteknik Lanskap BPF
8) Encik Othman Abdullah – Juruteknik Awam BPF
9) Encik Azhar Bin Muhamad - Pemandu

Lawatan Ke Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)
Rombongan bertolak ke MPSP pada jam 8.20 pagi dan disambut oleh Encik Mohd Puad Hamid, Pegawai Kesihatan sebagai wakil daripada Yang Di Pertua MPSP iaitu Dr Haji Ramli Haji Awang yang tidak dapat hadir kerana urusan mesyuarat. Encik Puad memberi taklimat dan maklumat serba sedikit tentang projek kitar semula. MPSP yang merupakan Majlis Perbandaran yang paling aktif di Malaysia dengan projek kitar semula. Kadar kitar semula MPSP adalah 20% dibandingkan dengan kadar purata seluruh Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Malaysia iaitu 5%. Ini adalah kerana MPSP telah mendapat sokongan padu daripada Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga pihak industri.
Secara purata sisa organik dan sisa makanan merupakan penyumbang tertinggi sampah iaitu 42 %, 17 % daripada kertas, 14 % daripada plastik, 9 % daripada sisa industri, 6 % daripada lampin pakai buang, 5 % daripada kayu, 3 % daripada rumput dan 2 % daripada barangan kulit. Semua sampah boleh dikitar semula keculai lampin pakai buang. Untuk tapak pelupusan sampah yang ada di Seberang Perai ia hanya boleh bertahan selama 13 tahun sahaja lagi. Di antara projek yang telah dijalankan oleh MPSP untuk projek kitar semula ialah pengagihan tong kitar semula kepada semua sekolah, IPTA, agensi kerajaan, kilang, stesyen minyak dan institusi kesihatan iaitu sebanyak 192 tong. Pusat pengumpuan barangan kitar semula juga diadakan contohnya di Taman Pandan, Butterworth. Hasil kutipan daripada barangan kitar semula disalurkan kepada badan kebajikan seperti pusat dialisis, rumah kebajikan, persatuan dan badan agama serta golongan miskin. Projek E-Waste juga diperkenalkan oleh MPSP iaitu pengumpulan sisa elektronik seperti komputer terpakai dan di antara pusat pengumpulan adalah di setor MPSP cawangan Jawi. MPSP juga mengenalkan Skim Insentif kepada pusat pengumpulan kitar semula dan insititusi pendidikan serta sekolah atas barangan yang diberikan untuk kitar semula. Ini untuk menggalakan semua pihak agar menyedari kepentingan kitar semula,

Lawatan ke Tapak Penghasilan Baja Kompos dari Sisa Makanan di Taman Pandan, Butterworth ,Pulau Pinang
Selepas mendengar taklimat daripada Encik Puad dari MPSP, rombongan dibawa melihat ke tapak projek baja kompos di Taman Pandan. Tapak ini diselenggarakan oleh seorang sukarelawan sepenuh masa, Madam Loh Poh Chen. Kaedah Baja Kompos adalah kaedah di mana sisa makanan diproses menjadi baja. Secara asasnya, tanah diperlukan dan dilapis dengan batu kerikil halus dan selepas itu sisa makanan diletakkan secara berselang dengan tanah dan juga daun kering. Lapisan ini dibuat di dalam bekas yang mempunyai ruang udara dan ia akan disiram dengan air setiap hari untuk mempercepatkan proses penguraian sisa makanan tersebut, Selepas 2 bulan, lapisan tersebut barulah boleh dibalik-balikkan untuk mengurangkan bau yang kurang menyenangkan. Akhir sekali untuk memastikan lapisan itu sudah menjadi baja sepenuhnya, suhu lapisan itu akan diperiksa. Jika suhu lapisan kurang daripada 30°C, barulah baja kompos sedia digunakan. Secara purata selepas 3 bulan barulah lapisan menjadi baja kompos sepenuhnya.

Lawatan ke Pusat Kitar Semula di Jalan Haji Mohd Saad, Butterworth
Rombongan kami kemudian bergerak ke pusat kitar semula di Jalan Haji Mohd Saad, Butterworth. Kami disambut oleh wakil persatuan agama Buddha, Tzu Chi yang menguruskan pusat kitar semula ini. Persatuan ini dianggotai oleh sukarelawan yang berkhidmat separuh masa di sini dan juga warga tua yang membantu sambil menghabiskan masa lapang mereka. Di sini, penduduk menghantar sendiri barangan untuk dikitar semula dan sukarelawan Tzu Chi akan mengasingkan barangan tersebut kepada kumpulan tertentu seperti plastik, tin, kertas, botol kaca dan lain-lain untuk meningkat harga barangan kitar semula tersebut. Ini adalah kerana setiap bahan yang diasingkan mempunyai nilai yang berbeza-beza. Duit yang berjaya dikumpul dari hasil kitar semula akan digunakan juga bagi membeli keperluan asas seperti beras untuk dihantar kepada negara yang memerlukan seperti Acheh, China dan lain-lain. Baju yang masih elok akan dihantar kepada penduduk Myanmar yang memerlukan. Secara purata sebanyak 500 tan metrik barangan telah berjaya dikitar semula selama sebulan yang membawa kepada pendapatan RM190,000 sebulan seluruh Pulau Pinang. Projek kitar semula ini membantu ke arah penerapan nilai-nilai murni di kalangan pelbagai lapiran masyarakat terutama kanak-kanak tadika. Mereka berpendapat dunia ini perlu diselamatkan supaya dapat digunakan oleh generasi yang mendatang.

Lawatan ke Unit Pengurusan Kualiti UiTM Pulau Pinang
Lawatan kami diakhiri dengan lawatan ke Unit Kualiti UiTM Pulau Pinang. Lawatan kami dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Pengarah Kampus iaitu Prof Madya Mohd Zaki Abdullah tentang sejarah UiTM Pulau Pinang dan tayangan video korporat UiTM Pulau Pinang . Ketua Unit Pengurusan Kualiti UiTM Pulau Pinang, Encik Abdul Rahman bin Ayub juga memberi sedikit kata-kata aluan. Selepas itu kata-kata aluan balas telah diberikan oleh wakil dari pihak UiTM Terengganu iaitu Puan Hajah Azmi Aminuddin. Perkongsian pengalaman lawatan juga diceritakan oleh Puan Hajah Azmi. Kedua-dua pihak berkongsi idea untuk memperbaiki lagi Unit Pengurusan Kualiti masing-masing. Lawatan kami diakhiri dengan lawatan ke sekitar Unit Pengurusan Kualiti UiTM Pulau Pinang.

Kesimpulan

Rombongan juga telah sempat singgah di USM, Pulau Pinang untuk melihat amalan penjualan di salah sebuah Kafeteria di sana yang menggunakan bekas makanan kitar semula bagi menggantikan bekas polystyrene (dibekalkan oleh pihak pengurusan universiti) yang mengambil masa 10,000 tahun untuk dilupuskan. Kami diberitahu bahawa setiap pelajar digalakkan membawa bekas sendiri sekiranya mereka mahu membungkus makanan atau dikenakan 20 sen bagi setiap bekas

Lawatan secara keseluruhannya berjalan lancar dan kami telah mendapat banyak ilmu tentang projek kitar semula dan penghasilan baja kompos. Adalah diharap dengan lawatan ini, Rumah Kitar Semula dan Rumah Penghasilan Baja Kompos dapat diwujudkan dalam usaha untuk mencapai “Environmental Friendly Campus” di UiTM Terengganu.

Disediakan oleh;
Fazlina Ahmat Ruslan
AJK Kecil 5S dan P, UiTMT

Dikemaskini oleh:
Ketua Pengurusan Unit Kualiti
Penyelaras 5S & P

 
Unit Kualiti UiTM Terengganu. Hak cipta terpelihara © 2009. Paparan Terbaik 1024 X 768